Monday, November 5, 2012

laser pixel

Punca Kulit Kusam dan Rawatan Laser



Tidak dapat dinafikan faktor kecantikan kulit dan tubuh badan amat penting bagi wanita. Seseorang wanita yang memiliki kulit halus dan susuk tubuh menarik lebih berkeyakinan meningkatkan keterampilan sekali gus menjadikannya anggun dan berpersonaliti. Kulit yang segar dan berseri pasti menawan sesiapa sahaja yang memandang.


Seri wajah tidak bergantung kepada warna kulit. Mereka yang berkulit gelap atau sawo matang juga tampil cantik berseri jika kulitnya segar dan bersih.

Kecantikan perlu dijaga dan dipupuk. Sejak zaman dahulu lagi petua petua kecantikan dibisikkan ke telinga anak-anak gadis. Arang di dapur dijadikan pemutih gigi, beras yang direndam dilumur ke muka menjadikan wajah bersih dan berseri. Putih telur pula dijadikan masker yang membuang noda pada kulit sekali gus menegangkan kulit kita.




Punca Kulit Kusam

Kulit kusam terjadi disebabkan oleh masalah sel-sel kulit yang bercampur-campur. Sel kulit yang mati dan sel baru saling bercampur menyebabkan kulit tampak gelap dan bernoda. Pertumbuhan sel-sel juga lambat dan sel-sel baru kurang berkembang. Ini menyebabkan kulit tampak pudar.

Kulit sebegini sering mendapat white heads iaitu pengumpulan lemak dalam pori-pori kulit. Lemak ini berasal dari kelenjar sebum atau kelenjar minyak yang terlalu aktif. Oleh kerana pengeluaran lemak terlalu banyak maka kulit jadi berminyak dan memudahkan jerawat tumbuh. Begitu juga dengn noda hitam akibat sel-sel sebum dan bulu roma yang bercampur. Noda hitam yang banyak menyebabkan warna kulit menjadi tidak sekata. Kulit tampak kotor meskipun telah dicuci.

Satu lagi masalah yang menjadikan kulit tampak kusam ialah kesan parut lama. Apabila kulit berparut akibat daripada jerawat ataupun masalah lain maka kesan kehitaman mula terlihat. Mencuci muka sahaja tidak boleh membantu mengatasinya.

Jika seseorang wanita itu bekerja di lapangan atau selalu terdedah kepada sinaran matahari, kulit akan menjadi lebih kasar, pigmentasi dan cepat berkedut. Ini kerana sinaran matahari boleh menyebabkan berlakunya pigmentasi. Pigmentasi akan menyebabkan kita kelihatan lebih tua.

Sinaran UVA dan UVB juga menyebabkan kulit cepat kehilangan kolagen. Kolagen pada kulit tidak boleh diganti dengan menyapu kolagen pada kulit atau dengan mengambil kolagen dari pemakanan. Oleh itu kita kena menjaga kulit daripada kehilangan kolagen dengan melindunginya daripada dirosakkan oleh sinaran matahari. Apabila kulit kehilangan banyak kolagen, maka berlakulah kedut-kedut di muka. Ini menyebabkan kita kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Satu lagi sebab utama yang menjadikan kulit tampak kusam adalah penggunaan produk kecantikan yang tinggi bahan kimia. Apabila sel kulit rosak ia menjadi kusam. Pemakainya tidak boleh berhenti menggunakan produk itu selama-lamanya. Kulit menjadi 'ketagih' kepada bahan kimia itu. Tanpanya ia layu dan menjadi gelap.

Jenis-jenis Kulit

Kebiasaannya kulit kita adalah jenis campuran. Namun untuk memudahkan kita memahami ragam kulit, ia dikelaskan kepada beberapa jenis.

* Kulit normal - Kulit yang segar dan kelihatan kemerahan. Pori-porinya kecil dan kelihatan segar. Kulit jenis ini tidak banyak masalah.

* Kulit kering - Kulit jenis ini sering kering dan kadang kala pecah di bibir dan pipi. Pori-pori tidak kelihatan memandangkan kelenjar sebaceous yang menghasilkan kelembapan kulit tidak banyak. Justeru ia memerlukan krim dan bantuan untuk melembapkannya.

* Kulit berminyak - Kulit kasar dan berkilat. Kelenjar sebaceous terlalu aktif dan pori-pori kelihatan besar. Kulit jenis ini memerlukan penjagaan rapi. Ia mudah berjerawat .

* Kulit kombinasi - Kebanyakan kita memiliki kulit kombinasi. Bahagian tengah muka, dahi, hidung dan dagu berminyak dan tampak kasar manakala bahagian lain akan kelihatan halus dan licin.

Laser Pixel

Pada masa kini teknologi laser digunakan dengan meluas bagi meningkatkan kecantikan kulit. Laser pixel merangsang kulit dan mengelakkan masalah kulit kusam. Apabila pixel dibuat, pancaran laser yang menusuk kulit akan mengeluarkan sel-sel mati dan meningkatkan aktiviti sel-sel baru. Ini membolehkan sel lama dikeluarkan dan aktiviti penggantian kulit akan lancar. Dengan ini kita akan mendapat sel-sel baru yang lebih baik.

Laser juga mengecilkan kelenjar sebum. Apabila minyak kurang keluar maka wajah tampak lebih sekata dan lebih berseri. Begitu juga dengan white head. Penggunaan laser menghapuskan white head akibat daripada minyak yang banyak.

Penggunaan laser yang berkualiti adalah sangat mustahak bagi menghasilkan kesan yang diingini. Terdapat pelbagai jenis laser dan setiap satunya amat spesifik tindakannya. Laser jenis pixel bertindak menghapuskan jenis parut berlubang dan membuang sel-sel mati yang melekat pada kulit. Justeru itu ia amat sesuai bagi rawatan kulit kusam. Pixel sesuai bagi semua jenis kulit.

Selepas rawatan laser dijalankan amat mustahak bagi kita menjaga kulit agar tidak terkena pancaran matahari selama seminggu. Pada waktu ini amat penting sekali bagi kita menggunakan pelindung cahaya matahari yang baik dan krim pelembap yang disyorkan oleh doktor. Sekiranya langkah-langkah ini diikuti kita pasti mendapat hasil yang sangat baik dan kulit yang benar-benar halus dan mulus.

Kulit Halus

Kulit yang halus mudah diuruskan. Ia sukar berjerawat berbanding kulit yang kasar. Ini kerana kelenjar minyaknya adalah sekata dan tidak berlebihan. Ia juga tampak sempurna apabila disapu bedak atau mekap. Pori-porinya yang kecil membuatkan sapuan mekap sempurna dan sama rata.

Apabila berbedak dan bermekap ia mampu menyimpan bedak dan mekap jauh lebih lama. Ini membuatkan anda kelihatan segar dan berseri sepanjang hari. Mereka yang berkulit halus juga tidak berasa ragu untuk tampil tanpa mekap. Ini kerana kulit yang cantik dan licin akan tetap menarik meskipun tiada sebarang solekan dikenakan.

Bagi anda yang bermasalah kulit kasar dan ingin mengubah strukturnya menjadi lebih baik anda bolehkah mencuba kaedah ini kerana rawatan laser yang tepat sangat bermanafaat kepada kulit kita.